Tuesday, 15 April 2014

GURU SEBAGAI 'ROLE MODEL' PELAJAR.

DEFINISI PEMBANGUNAN SAHSIAH

Pembangunan sahsiah adalah merupakan semua tingkah laku yang tetap iaitu yang pasti ada pada seseorang individu, namun ianya berlainan dengan orang lain. Setiap tingkah laku mewakili perwatakan seseorang individu yang dapat dilihat dan dinilai melalui tingkah laku yang ditunjukkannya.

Sahsiah adalah perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud keperibadian atau peribadi (Kamus Dewan, 2011). Maksud peribadi pula ialah manusia sebagai diri sendiri, sifat-sifat (kelakuan, sikap) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri untuk membentuk watak dirinya.  Ia juga menggambarkan sifat personaliti unik individu yang membezakan dirinya dengan individu yang lain (Cloninger, 2008).  Menurut Siti Fatimah (1993), sahsiah merujuk kepada sistem tingkah laku individu.Ini bererti setiap individu ada cara bertindak yang tersendiri dan cara bertindak itu adalah lebih kurang sama dari sehari ke sehari.


Namun, Abdul Majid dan Rahil (1995) mendefinisikan sahsiah sebagai perkaitan antara penilaian, perasaan, emosi dan perlakuan manusia. Selain itu, sahsiah juga merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang individu secara keseluruhan.  Ini merangkumi perangai, kecerdasan, sentimen, sikap, minat, kepercayaan, cita-cita dan nilai-nilai.

CIRI-CIRI GURU BERSAHSIAH TINGGI


Dalam konteks dunia pendidikan yang serba mencabar dewasa ini, guru-guru perlu peka dan beriltizam untuk menjadikan mereka dan juga produk mereka mendapat pengiktirafan. Proses pengajaran dan pembelajaran haruslah konsisten dengan halatuju dan falsafah pendidikan negara. Dalam menuju negara maju tahun 2020 dan pembelajaran bertaraf dunia, para guru haruslah mempunyai sikap dan semangat yang tinggi serta bersifat proaktif dalam menjayakan iltizam dan harapan bangsa.


Menjadi guru yang bersahsiah tinggi amat penting dalam pendidikan masa kini. Ini kerana guru juga perlu mematuhi dan mengikut segala elemen-elemen penting dalam Falsafah Pendidikan Guru. Falsafah Pendidikan Guru dirangka untuk membentuk guru yang berkualiti selaras dengan objektif pendidikan kebangsaan. Dalam Falsafah Pendidikan Guru, terdapat beberapa aspek atau ciri kualiti yang ingin dibentuk dalam diri guru yang berperanan sebagai agen perubahan kepada generasi masa hadapan. Antaranya ialah berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, menyanjung warisan kebudayaan negara, menjalin perkembangan individu, memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, memelihara suatu masyarakat yang demokratik, memelihara suatu masyarakat yang progresif dan memelihara suatu masyarakat yang berdisiplin.

Elemen yang pertama iaitu berpekerti mulia. Pekerti yang mulia merujuk kepada sahsiah seseorang guru. Guru yang bertindak sebagai agen perubahan pelajar perlu terlebih dahulu menunjukkan sahsiah yang baik supaya murid dapat mencontohi keperibadian guru. Antara sahsiah  yang boleh ditonjolkan ialah seperti berbudi bahasa, bersopan, berdisiplin dan bermoral. Sekiranya seorang guru tidak menunjukkan disiplin yang mantap misalnya merokok dalam kawasan sekolah, sudah semestinya menjadi teladan yang tidak baik untuk pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar yang baru meningkat dewasa mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling.


Jadi sekiranya guru merokok di kawasan sekolah, pelajar akan turut sama melanggar disiplin sekolah dengan menghisap rokok. Mungkin budaya merokok dianggap mudah tetapi budaya inilah yang akan mendorong pelajar-pelajar untuk melakukan lebih banyak masalah di sekolah seperti gangsterisme dan vanderlisme. Kebelakangan ini banyak terjadi kes-kes yang melibatkan guru, contohnya guru mencabul pelajar di sekolah. Hal-hal sebegini tidak seharusnya berlaku sekiranya guru mempunyai pekerti yang baik. Guru berperanan menjadi contoh teladan kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama telah memusnahkan kepercayaan pelajar itu terhadap guru. Justeru, bagaimanakah aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Guru mampu tercapai. Maka, elemen pekerti yang mulia dalam kalangan guru diterapkan dalam Falasafah Pendidikan Guru supaya aspirasi negara dapat dicapai.

Elemen kedua iaitu berpandangan progresif dan saintifik. Progresif dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud sentiasa bergerak maju dan bertujuan untuk mencapai kemajuan, manakala saintifik pula bermaksud suatu kaedah yang teratur atau bersistem. Selaras dengan matlamat wawasan 2020 yang dihuraikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu bagi mewujudkan masyarakat saintifik yang progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan. Seorang guru mestilah bergerak maju dan bersistem atau dengan kata lain seorang guru perlu berkembang mengikut peredaran zaman yang kini memberi penekanan kepada sains dan teknologi.


Dunia tanpa sempadan memaksa guru-guru bersifat progesif tetutama untuk mendidik pelajar-pelajar di sekolah. Contohnya, jika zaman dahulu, pelajar hanya mengharapkan bimbingan dari guru dalam pelajaran tetapi dengan kemajuan teknologi masa kini, pelajar boleh belajar walaupun tidak ada guru untu memantau. Guru juga mudah untuk mencari maklumat dengan menggunakan teknologi. Sebaliknya jika seorang guru itu tidak progresif selaras dengan kemajuan negara, sudah pasti guru tersebut akan ketinggalan dalam bidang perguruan itu sendiri. Seorang guru yang progresif dan saintifik mestilah bergerak seiring dengan kamajuan dan berusaha agar tidak ketinggalan terutamanya dari segi profession keguruan. Ini bermakna guru perlu berusaha untuk berfikiran maju dan berani mencipta satu inovasi dalam pendidikan.

Elemen yang ketiga iaitu bersedia menjunjung aspirasi negara. Aspirasi dalam kamus pelajar edisi kedua bermaksud keinginan atau kehendak yang kuat untuk mencapai sesuatu. Dalam konteks menjunjung aspirasi negara, guru sebagai agen yang bertindak untuk menjayakan aspirasi negara ini. Guru berperanan untuk mendidik generasi muda supaya dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Guru perlulah benar-benar menghayati aspirasi negara yang dihasratkan supaya pembentukan modal insan kelas pertama dapat dilahirkan. Sebagai pendidik, guru perlu menerapkan kesemua aspek yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dan harmonis.


Sekiranya modal insan yang dilahirkan tidak berkualiti, jadi aspirasi negara sudah pasti tidak dapat dicapai. Generasi muda yang akan dilahirkan oleh para guru inilah yang akan menjadi penggerak dan bersama-sama guru untuk menjunjung aspirasi negara Malaysia. Tambahan pula, guru perlu berusaha agar dapat menyumbang secara maksimum ke arah pencapaian aspirasi negara. Contohnya, guru perlu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan seperti mendidik pelajar dengan jujur, ikhlas dan amanah. Ada beberapa kes yang tidak sihat melibatkan guru, misalnya kes guru yang ponteng kelas, tidak berada di kelas yang sepatutnya tanpa alasan, dan ada juga guru yang menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Jika kes-kes sebegini berterusan, di mana kredibiliti seorang guru yang sepatutnya menjunjung hasrat negara? Maka, melalui Falsafah Pendidikan Guru inilah yang bertindak untuk menjadi garis panduan dan pegangan untuk di setiap guru di Malaysia.

Elemen seterusnya ialah bersedia menyanjung warisan kebudayaan negara. Negara kita, Malaysia kaya dengan pelbagai kebudayaan yang unik. Sebagai guru, kita perlulah menghayati warisan kebudayaan negara yang unik ini. Bukan sahaja dari segi adat resam, malah dari aspek kesenian, pakaian, peralatan tradisional, permainan tradisional, perubatan, sastera, seni bina dan juga seni halus. Kesemua aspek ini perlu dipelihara supaya warisan kebudayaan ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Seorang guru berperanan untuk memupuk sifat bangga terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan pelajar. Mereka perlu menghargai keunikan kebudayaan yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.

Untuk menyemai perasaan bangga terhadap budaya yang pelbagai ini, guru boleh mengambil inisiatif seperti membuat aktiviti atau program yang berkaitan dengan kebudayaan. Misalnya, mewujudkan malam kebudayaan dan warisan di mana pada malam tersebut ditonjolkan budaya bagi setiap kaum yang ada di Malaysia. Secara tidak langsung, murid akan dapat mengetahui keunikan budaya kaum-kaum lain. Di sini, gurulah yang bertindak sebagai agen penggerak dalam memelihara warisan kebudayaan negara.

Guru juga perlu menyemai sifat patrotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar. Sifat patriotisme dan cintakan negara ini penting untuk diterapkan dalam diri pelajar supaya mereka sanggup berjuang mempertahankan negara suatu masa nanti. Sekiranya guru tidak menerapkan sifat ini sebaik mungkin, tidak mustahil penjajah akan kembali mencari ruang dan peluang untuk menjajah semula negara. Guru tidak seharusnya berasa senang hati atas kemerdekaan yang telah kita kecapi selama 54 tahun ini.

Anasir-anasir luar sentiasa menantikan peluang untuk menjajah semula sekiranya kita lalai dan leka. Generasi muda yang bakal dilahirkan oleh warga pendidik inilah yang akan beruang untuk mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara pada masa akan datang. Jadi, guru perlu peka dalam menerapkan unsur patriotisme dalam diri pelajar. Pelajar yang hanya pintar dari sudut intelek tetapi tidak punyai semangat patriotisme hanya akan merosakkan negara.

Contohnya, pelajar yang mahir dalam bidang ekonomi, seharusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara tetapi sekiranya mereka tidak mempunyai semangat cintakan negara, berkemungkinan besar individu-individu yang cerdik pandai inilah akan menrosakkan negara misalnya dengan berkomplot dengan negara luar dalam usaha untuk menjatuhkan negara. Jadi, di sini amat jelas peranan guru yang sangat penting untuk menerapkan semangat patriotisme supaya keadaan seperti itu tidak akan berlaku pada negara yang tercinta ini.

Elemen yang kelima iaitu menjamin perkembangan individu. Guru bertanggungjawab untuk melahirnya individu yang seimbang dan harmonis seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Golemen (1995), kecerdasan intelek semata-mata tidak menjamin kebahagaian hidup seseorang individu. Malah, dengan hanya kecerdasan intelektual yang diberi penumpuan tidak mampu untuk melahirkan insan yang matang, tabah, berani, kuat, teguh dan rendah diri. (Muhamad Mahyudin Nafis, 2007). Individu yang seimbang merangkumi empat aspek utama iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek.
            
Gurulah yang berperanan untuk membentuk perkembangan murid secara menyeluruh iaitu merangkumi kesemua aspek yang telah dinyatakan. Bukan sahaja perkembangan murid perlu dtitik beratkan, sebaliknya guru itu sendiri perlu mempunyai kesemua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Perkara utama yang perlu diamalkan oleh seorang guru ialah dengan sentiasa menghayati  Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sebagai guru berkualiti, kita mestilah lengkapkan diri dengan keempat-empat aspek yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu dari segi  Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI).
Keperluan intelek yang perlu dimiliki terbahagi kepada beberapa aspek iaitu berilmu pengetahuan, mahir IT, menguasai Bahasa Inggeris dan mempunyai daya kreativiti dan inovatif. Cabaran pada hari ini memerlukan guru untuk  memiliki pelbagai ilmu pengetahuan dan kepakaran. Begitu juga dengan kemahiran dalam teknologi maklumat yang perlu dikuasai sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti. Guru juga perlu menguasai  Bahasa Inggeris  dengan baik kerana perkembangan sistem pendidikan negara masa kini memerlukan para guru  untuk menguasai bahasa  bahasa inggeris dengan baik. Seterusnya mempunyai daya kreativiti dan inovatif iaitu kebolehan untuk mencipta dan menghasilkan sesuatu idea baru, serta kebolehan mengubahsuai sesuatu idea menjadi lebih menarik.
Guru yang berkualiti kerohaniannya terdiri daripada mereka yang memiliki sahsiah atau  tingkah laku yang baik dan terpuji. Di antara ciri-ciri seorang guru bersahsiah yang baik ialah menjalankan tugas tepat pada masanya,  ikhlas dalam menjalankan tugas, menghormati rakan guru serta  pelajar,  rajin dan lain-lain.  Nilaitara sahsiah atau tingkahlaku yang baik ini adalah terkandung di dalam  Etika dan Tatasusila Profesion Keguruan .guru juga perlu memiliki pegangan agama yang kukuh. Dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, agama diletakkan di tempat yang tertinggi. Pegangan agama yang kuat  akan menyebabkan seseorang guru itu bertanggungjawab terhadap tugasnya, berilmu, berprinsip serta amanah.

Seorang guru yang berkualiti jasmaninya ialah mempunyai penampilan dan imej diri yang baik, iaitu cara  berpakaian, tingkah laku dan tutur kata. Memiliki kesihatan tubuh badan yang baik agar dapat menjalankan tugas dengan berkesan. Guru yang berkualiti juga harus memiliki kemahiran berkomunikasi iaitu semasa berhubung dengan pelajar, ibubapa, masyarakat  dan pihak pengurusan sekolah. Guru juga perlu mahir dalam sesuatu aktiviti sukan dan mana-mana unit beruniform. Ini bertujuan untuk melatih pelajar melibatkan diri dalam kokurikulum yang penting untuk pembentukan jati diri pelajar.
Aspek-aspek yang perlu dimiliki oleh seorang guru berkualiti dari segi emosi ialah sentiasa menghayati nilai-nilai murni, norma dan Etika Perkhidmatan. Guru juga perlu mempunyai pemikiran yang positif dalam menjalankan tugasnya   iaitu  menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar sebagai suatu ibadah tanpa sebarang alasan. Di samping itu, seorang guru juga hendaklah memiliki sikap akauntabiliti dalam menjalankan tugas agar sebarang tanggungjawab yang diberi dapat dijalankan dengan berkesan.

Elemen yang terakhir dalam Falsafah Pendidikan Guru ialah memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Guru mempunyai tanggungjawab sebagai ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan negara. Guru mestilah berusaha agar masyarakat dapat memenuhi aspirasi dan hasrat negara yang telah ditetapkan. Untuk menjayakan Falsafah Pendidikan Guru ini, guru perlu menjadikan diri mereka sebagai rol model kepada masyarakat kerana gurulah yang membentuk masyarakat itu. Guru yang berkualiti dan baik akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin selaras dengan hasrat dan aspirasi negara kita, Malaysia.

Ciri-ciri guru yang bersahsiah tinggi.

Kesan daripada kurang pembentukan sahsiah dalam diri seorang guru.


LANGKAH-LANGKAH MEMBINA SAHSIAH GURU CEMERLANG


Perkembangan

Memperbaiki diri dengan ilmu pengetahuan. Guru yang ingin memperbaiki diri dengan ilmu pengetahuan perlu menanamkan minat yang mendalam terhadap bidang pengajian yang diambilnya. Minat yang mendalam terhadap disiplin ilmunya akan menyuntik semangat untuk bersungguh-sungguh di dalam pengajian. Selain itu, guru juga perlu menghadiri kursus dan bengkel untuk meningkatkan  sahsiah diri.

Pencegahan

Bertujuan untuk menghalang atau mencegah daripada berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini. Seorang guru tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan , antara cabaran terpaksa ditempuhi ialah stress di tempat kerja. Seorang guru perlu bijak menangani stress secara efektif . Antara contoh melalui pendekatan kaunseling,pendekatan biological, dan melalui persektif kerohanian.

Pemulihan

Bertujuan untuk memulih seseorang guru daripada berterusan menghadapi permasalahan dalam kehidupannya. Bagi membantu guru tersebut, maka sokongan sosial perlu diadakan. Sebagai contoh:

1. Perkhidmatan kaunseling

Perkhidmatan kaunseling disediakan agar perbincangan dapat dijalankan dengan cara yang kondusif.

2. Munasabah diri

Merenung kembali perkara yang dilakukan dan meneliti segala tindakan yang baik dan buruk yang pernah dilakukan. Guru perlu bertaubat dan meningalkan pekara-pekara yang terlarang tersebut.

3. Rujukan

Pihak sekolah dan juga pihak KPM menjadi rujukan dalam memainkan peranan yang penting dalam aspek pemulihan sahsiah guru.

4. Tindakkan tatatertib

Tindakan tatatertib perlu diambil sebagai satu bentuk hukuman dan peringatan kepada guru lain.

5.Kursus dan bengkel

Kajian-kajian perlu dijalankan untuk melihat kesan sesuatu kursus atau bengkel dalam menangani isu sahsiah guru di Malaysia.

PERANAN SEBAGAI SEORANG GURU


Peranan utama guru ialah sebagai seorang pendidik. Dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara, seorang guru bertanggungjawab untuk mendidik murid-murid iaitu dengan memberi ilmu, memberi pendedahan dan pengalaman serta mendidik murid-muridnya berakhlak mulia. Guru berperanan dalam mengajar, menyampai maklumat, berbincang, mengendalikan bengkel dan sebagainya. Hal ini kerana guru merupakan insan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid dengan segala ilmu pengetahuan supaya mereka dapat mengembangkan segala aspek yang ada dalam diri mereka iaitu dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. 

Guru juga perlu mendedahkan murid-muridnya dengan pengalaman-pengalaman tertentu. Antaranya pengalaman mengembara, ikhtiat hidup di hutan, dan menyertai pertandingan. Hal ini adalah berkaitan dengan kegiatan kokurikulum di sekolah. Seterusnya, guru juga berperanan dalam mendidik murid-muridnya berakhlak mulia supaya mereka menjadi insan yang mulia. Dalam hal ini, pendidikan moral dan agama adalah penting. Guru hendaklah mendidik pelajarnya cara berhubung, berkomunikasi, adab makan, adab berpakaian, adab bergaul dan sebagainya supaya mereka menjadi insan yang berilmu dan bersahsiah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Peranan guru yang seterusnya ialah sebagai kaunselor murid.Kaunselor berperanan dalam membantu dan memberi nasihat kepada murid sekiranya mereka menghadapi masalah. Selain daripada ibu bapa, guru merupakan insan terbaik dalam membantu murid menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Hal ini kerana sesetengah murid gagal berkomunikasi dengan ibu bapa apabila mereka menghadapi masalah. Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang penting dalam menenangkan fikiran dan emosi mereka supaya mereka tidak melakukan perkara-perkara yang negatif. Guru juga harus meluangkan masa yang lebih dan memberi perhatian tambahan kepada murid-murid yang menghadapi masalah. Khususnya, mereka yang menghadapi masalah keluarga, kewangan, disiplin dan masalah kesihatan. Hal ini supaya murid-murid berasa selesa dan tidak menghadapi masalah untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan mendapat pencapaian yang terbaik.

Berikutnya, bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru berperanan sebagai jurulatih yang mencungkil bakat dan potensi murid. Setiap murid di sekolah mempunyai keistimewaan tersendiri. Guru merupakan insan yang terbaik dalam mengenalpasti dan mengembangkan bakat dan potensi murid-muridnya. Hal ini kerana, sesetengah murid yang berbakat tidak dapat menonjolkan bakatnya kerana tidak mempunyai peluang dan tidak mengetahui cara yang betul untuk mengembangkan bakat mereka. Sekiranya guru di sekolah peka terhadap bakat dan potensi yang ada dikalangan murid, bakat mereka boleh diketengahkan dan dilatih ke tahap yang terbaik supaya dapat memberi sumbangan kepada pihak sekolah dan ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sekiranya seseorang murid itu mempunyai potensi dalam acara sukan, guru boleh melatih, membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada beliau supaya bakat beliau dapat diasah dan menjadi atlet yang terbaik. Secara tidak langsung, faktor jasmani murid tersebut dapat diperkembangkan dan mencapai salah satu matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Di samping itu, guru juga berperanan sebagai penasihat kepada ibu bapa. Guru haruslah menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa supaya perkembangan murid di sekolah dan di rumah dapat diikuti. Sehubungan itu, guru haruslah mengetahui latar belakang keluarga muridnya. Guru juga bertanggungjawab dalam menyimpan semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka dan tidak membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya. Hal ini kerana guru merupakan insan yang paling dipercayai oleh ibu bapa dalam menjaga dan mendidik anak mereka di rumah dengan cara yang terbaik dan berkesan. Sekiranya ibu bapa mempunyai masalah berkaitan dengan anak mereka, guru merupakan insan yang terbaik untuk mereka meluahkan perasan dan masalah serta meminta nasihat dan dorongan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Oleh yang demikian, peranan guru ketika ini amatlah penting dalam memberi nasihat, dorongan dan bimbingan kepada ibu bapa supaya mereka dapat menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan anak mereka dan membantu anak mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta pengembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial anak mereka.

TUJUAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. 

Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara. FPK melihat individu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara. 

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti. Berikut merupakan perincian yang dihuraikan oleh pengkaji mengenai FPK.

a) Pendidikan Suatu Usaha Berterusan

Pendidikan merupakan satu proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai-nilai murni serta mendapatkan kemahiran. Proses ini berjalan secara berterusan dalam diri individu sejak lahir lagi. Pendidikan asas kanak-kanak bermula dari rumah dan dari rumah jugalah sahsiah mereka mula terbentuk dan berterusan. (Kamarudin Hj Husin & Kamarul Azhar, 1994) 

Pendidikan adalah satu bentuk pencarian erti kehidupan yang sentiasa berterusan. Boleh kita pecahkan pendidikan kepada dua iaitu Pendidikan Tidak Formal dan Pedidikan Formal. Pendidikan tidak fomal bermula di rumah. Ini bermaksud seseorang kanak-kanak dari bayi sehingga memasuki alam persekolahan telah mempelajari pelbagai pelajaran melalui pengalaman dan pemerhatian mereka di persekitaran dalam dan luar rumah. Pendidikan ini tidak mempunyai sukatan pelajaran dan lebih banyak mengunakan psikomotor. Jelasnya disini ialah kanak-kanak telah cuba jaya dalam sesuatu pelajaran yang telah dilakukan olehnya. Sebagai contoh, belajar berjalan, makan, bercakap dan lain-lain lagi.

Sistem pendidikan formal pula adalah satu pendidikan yang mempunyai sukatan pelajaran, kelas atau sekolah, mempunyai ujian dan peperiksaan serta lain-lain lagi. Kebiasaannya pendidikan ini bermula seawal usia lima hingga tujuh belas tahun. Hal ini boleh kita lihat dari Tadika sehingga Tingkatan Lima nanti. Pembelajaran yang dinyatakan dalam FPK sebenarnya bukan berhenti di sekolah malahan ianya berterusan sehinggalah keperingkat yang lebih tinggi dan seterusnya sepanjang hayat. Terdapat banyak program-program yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi mewujudkan budaya belajar sepanjang hayat. Antaranya ialah mengalakan golongan guru untuk belajar ke peringkat yang tertinggi bagi memberi peluang kepada golongan ini belajar lagi. Program ini telah memberikan kesedaran kepada guru supaya mereka bukan setakat mempuyai diploma atau ijazah sahaja, malah mereka digalakan untuk belajar ke peringkat yang paling tinggi.

b) Memperkembangkan Potensi Individu

Setiap individu memiliki keupayaan dan bakat yang tersendiri. Keupayaan dan bakat itu pula dapat diperkembangkan menerusi aktiviti sosial. Namun begitu tidak semua kebolehan itu dapat dilihat dengan jelas kerana pendedahan untuk memperkembang dan mempertingkatkanya agak terhad. Oleh itu pendidikan memainkan peranan penting dalam memperkembangkan potensi individu dan ia perlu diracangkan terlebih dahulu dan dilaksanakan dengan teratur dan bersungguh-sungguh.

Di sekolah, terdapat banyak aktiviti kokurikulum yang telah diwujudkan bagi memberi keseimbangan dalam akedemik dan aktiviti luar. Kokurikulum ini biasanya dilaksanakan selepas proses pembelajaran. Penglibatan pelajar boleh kita perhatikan dalam kegiatan sukan, kelab, persatuan dan pakaian seragam. Dalam aktiviti ini pelajar akan melakukan sesuatu aktiviti secara berkumpulan. Ada di kalangan mereka yang mempunyai bakat dalam menjadi pemimpin. Daripada mereka juga akan membentuk satu kumpulan yang menjadi pengikut kepada ketua mereka. Kesannya, ia akan mendedahkan pelajar tersebut supaya dapat menampilkan diri mereka yang sebenar suatu hari nanti. 

Jika kita imbas kembali, falsafah pendidikan yang menyentuh tentang memperkembangkan potensi individu adalah sangat diperlukan oleh pelajar dan haruslah diteruskan demi menjadikan pelajar negara kita sentiasa mencari kelebihan mereka dalam bidang yang mereka pilih. Setiap pelajar bijak dan lemah mempunyai kelebihan mereka masing-masing. Tidak semestinya pelajar yang lemah tidak mempunyai kebolehan tersendiri, mereka mungkin mempunyai kelebihan dalan sukan dan lain-lain lagi. Tegasnya di sini, falsafah ini sangat releven pada zaman sekarang. 



c) Menyeluruh Dan Bersepadu

Potensi-potensi yang ada pada individu harus dikembangkan secara bersepadu dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Sebagai contohnya potensi dari sudut intelek tidak boleh dipisahkan dengan potensi kerohanian. Pelajar yang bijak adalah tidak seimbang tanpa ada norma-norma kemanusiaan seperti kasih sayang sesama manusia dan menghormati orang lain. Begitu juga dengan potensi lain iaitu potensi rohani dan jasmani dalam satu-satu aktiviti tidak boleh dipisahkan dengan kemahiran bersosial semasa bermain secara berpasukan seperti sifat-sifat kerjasama dalam permainan. Semua potensi ini seharusnya berkembang secara menyeluruh dan bersepadu untuk membentuk pelajar yang sempurna.

Usaha hendaklah dijalankan untuk menghubungkaitkan perkembangan semua potensi untuk memenuhi keperluan jasmani, intelek, rohani dan sosial. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah selain memberikan pendidikan keduniaan seperti ilmu akademik dan jasmani untuk mengembangkan semua potensi secara bersepadu adalah dengan menerapkan kepercayaan kepada tuhan. Ini akan melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi selain berilmu. Oleh itu, semua potensi hendaklah dikembangkan melalui berbagai-bagai aktiviti kehidupan manusia yang berlandaskan nilai-nilai murni dan juga norma-norma masyarakat yang baik seperti aktiviti ceramah agama dan gotong-royong selain proses pembelajar dan pengajaran dalam kelas.

Oleh itu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan kurikulum yang sesuai bagi mencapai hasrat ini. Antaranya adalah mewujudkan bidang mata pelajaran seperti matematik dan bahasa untuk tujuan komunikasi, bidang Pendidikan Agama Islam, moral, geografi dan sains untuk mengenali manusia dan alam sekeliling serta pencipta kita. Bidang Muzik, pendidikan Jasmani dan kesihatan, kokurukulum dan bidang kemahiran-kemahiran manipulatif untuk memperkembangkan potensi individu secara bersepadu.

d) Insan Yang Seimbang Dan Harmonis

Insan yang seimbang membawa maksud semua keperluan manusia mencukupi iaitu pertumbuhan akal, perkembangan rohani, emosi dan jasmani secara sihat dan bersepadu. Harmonis pula bermaksud unsur-unsur rohani, intelek, emosi dan jasmani dalam diri manusia adalah dalam keadaan serasi dan sesuai. Keadaan ini akan membawa hubungan baik antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam sekitar dan manusia dengan Maha Pencipta.

Insan yang seimbang dan harmonis memiliki dan menghayati ilmu pengatahuan, berakhlak mulia, mempunyai fikiran dan jiwa yang sihat, tubuh badan yang sihat dan cergas serta mampu bekerjasama dengan orang lain dan mempunyai keyakinan yang teguh kepada Tuhan. Ini bermaksud pelajar yang seimbang dan harmonis memiliki kefahaman tentang tugas dan tanggungjawab dalam pelajaran. Dalam alam pekerjaan mereka mampu melaksanakan tugas dengan amanah dan baik. Mereka juga begitu teguh dalam menjalani kehidupan seharian iaitu segala masalah dan cabaran yang dihadapi dapat di atasi secara profesional dan rasional. 

Keseimbangan ini dapat dicapai melalui pendidikan sempurna di sekolah dan rumah. Di sekolah telah disediakan pendidikan yang sempurna untuk anak-anak. Hasrat ini tidak akan tercapai jika anak-anak tidak ke sekolah. Oleh itu ibu bapa dan guru harus bekerjasama bagi memastikan pendidikan ini sampai kepada golongan pelajar untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

e) Keseimbangan Dari Aspek JERI

Pendidikan di Malaysia suatu usaha berterusan ke arah melahirkan insan atau individu yang seimbang dari aspek Intelek, Rohani, Emosi dan Jasmani atau lebih dikenali sebagai “JERI”. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Keseimbangan dalam aspek JERI boleh dicapai dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Unsur Jasmani memberi tumpuan kepada perkembangan angota-angota tubuh badan dengan cekap dan sihat. Walaupun merujuk tubuh badan, kesihatannya bukan bergantung pada penjagaan tubuh badan semata-mata, ia juga perlu penjagaan emosi. Hal ini kerana emosi juga mempengaruhi kesihatan tubuh badan. Oleh itu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan subjek-subjek yang berkaitan dalam sistem pendidikan negara. Contohnya subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik serta aktiviti dalam Kelab dan Persatuan seperti Kelab Kebudayaan yang melibatkan gerakan dan kemahiran. Dengan unsur jasmani pelajar seharusnya dapat memperkembangkan bakat dan kemahiran teknikal, memanipulatif dan bersosial. Jasmani yang sihat secara dasarnya bermaksud memiliki tubuh badan yang sihat. Dengan tubuh badan yang sihat pelajar tentu sekali dapat menyumbang tenaga dengan baik dan berkesan.

Seimbang daripada aspek jasmani iaitu sihat tubuh badan, emosi yang stabil juga tidak cukup untuk melahirkan insan yang seimbang, jika tidak ada unsur rohani dalam diri. Rohani adalah merujuk kepada pembentukan dan pembinaan watak dan kejatidirian manusia. Sistem pendidikan melahirkan watak dan kejatidirian watak yang sesuai dengan agama, adat dan sosio-budaya Malaysia, sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara. Unsur rohani ini diselitkan agar setiap individu percaya kepada Tuhan, sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan serta berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada amalan-amalan yang baik. Jika rohani kosong atau penerapan nilai-nilai moral tidak ada maka kita tidak dapat melahirkan keperibadian yang mulia. Oleh itu kerajaan telah memantapkan matapelajaran agama Islam di sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan program Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (J-QAF). Bagi pelajar yang bukan Islam pendidikan moral sudah cukup tetapi amali haruslah diutamakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar ianya dapat dipraktikan di luar. 

Sihat, emosi stabil dan bermoral juga tidak dapat melahirkan insan yang seimbang tanpa intelek. Intelek bermaksud daya kemampuan berfikir dan memahami (menganalisis dan sebagainya). Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) insan yang seimbang dan harmonis dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan teguh kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan, hidup bermasyarakat dan cergas. Intelek merupakan unsur yang sangat diperlukan. 

Keseimbangan dalam aspek intelek dapat diperkembangkan dalam pendidikan. Bagi rakyat Malaysia intelek diukur di atas kertas ujian. Kebanyakan rakyat Malaysia menganggap bahawa intelek merupakan lembing kejayaan individu. Perkara ini harus dihakis, persepsi rakyat Malaysia harus diubah. Aspek intelek sepatutnya dijelaskan dengan lebih menyeluruh di dalam pendidikan dengan menyatakan kepada individu bahawa kejayaan intelek bukan bermaksud cemerlang di dalam peperiksaan, malah kejayaan merangkumi intelek ialah kejayaan yang merangkumi keupayaan berfikir untuk hidup dan berdikari.


f) Kepercayaan Kepada Tuhan

Kepercayaan kepada Tuhan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam pembentukan identiti negara Malaysia. Pihak kerajaan telah membentuk rukun negara dengan meletakkan prinsip kepercayaan kepada Tuhan pada tempat yang pertama. Ini menunjukkan betapa pentingnya prinsip ini kepada pembentukan sesebuah negara Malaysia yang harmoni di mana masyarakat di negara kita terdiri daripada pelbagai agama, kaum, budaya, bahasa, dan sebagainya. Dengan adanya kepercayaan kepada Tuhan oleh masyarakat di negara kita, ini akan mewujudkan satu masyarakat yang seimbang. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), perkara yang sangat dititikberatkan adalah berkaitan dengan soal keagamaan iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

Kepercayaan kepada Tuhan adalah elemen yang ketujuh dalam Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dimana kalau kita lihat kepentingannya, semua pelajar Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam dalam peperiksaan awam. Sementara itu, pelajar bukan Islam hendaklah diberikan pelajaran Pendidikan Moral. Kewajipan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pelajar-pelajar dapat mengamalkan konsep kepercayaan kepada Tuhan kerana mereka telah diajar perkara tersebut di dalam kelas.

g) Berilmu Pengetahuan

Membentuk rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan adalah elemen yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Elemen ini menyarankan rakyat yang memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti mencintai ilmu pengetahuan iaitu gemar membaca, sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dan berusaha meningkatkan serta menyebarkan ilmu pengetahuan di samping memanfaatkan ilmu untuk kebaikan diri dan orang lain serta berfikiran terbuka luas dan mendalam. Selain itu, dalam pembentukan FPK, ianya juga menekankan penyebaran ilmu pengetahuan dan memanfaatkan ilmu untuk kebajikan diri dan orang lain.

Secara realiti dalam konteks hari ini, wujud segelintir pelajar-pelajar baik peringkat rendah mahupun menengah tidak tahu membaca. Hal ini amat membimbangkan para pendidik kerana zaman moden kalau difikirkan kita memang tidak wujud golongan pelajar yang tidak pandai membaca. Ini boleh membantutkan perancangan negara dalam memcapai negara maju pada tahun 2020. Ramai pelajar hanya belajar sehingga peringkat ijazah dan berhenti setakat itu sahaja demi mencari pekerjaan yang bersesuaian. Situasi ini berlaku disebabkan terlalu ramai graduan universiti yang menganggur dan tidak mendapat pekerjaan yang sesuai. Bagi pandangan graduan, tidak guna belajar pada peringkat yang seterusnya sedangkan tiada peluang pekerjaan diwujudkan bersesuaian dengan bidang-bidang yang diambil semasa di univerisiti.

Selain itu, rakyat Malaysia kurang membaca buku-buku ilmiah berbanding buku-buku berbentuk hiburan seperti majalah mangga, komik kartun dan sebagainya. Ini juga amat merisaukan semua pihak. Untuk mencapai hasrat kerajaan dalam FPK, ilmu pengetahuan yang mendalam perlu ada dalam diri masyarakat. Rakyat Malaysia lebih mengetahui situasi dan perkembangan isu di negara luar berbanding dalam negara sendiri. Ini juga merisau pihak kerajaan dalam merealisasikan apa yang terkandung dalam FPK.


h) Rakyat Malaysia Yang Berketerampilan

Keterampilan membawa maksud bagaimana seseorang dapat berhubung dengan insan yang lain (Ee Ah Meng, 1990). Ia juga meliputi beberapa aspek seperti pemikiran , kepercayaan dan perasaan. Di sini hasrat yang ingin dicapai ialah melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran dan kecekapan dalam menjalankan sesuatu tugas atau amanah. 

Melahirkan individu yang berketerampilan ini penting bagi memastikan keseimbangan pendidikan dari segi rohani, jasmani dan intelek. Antara ciri-ciri individu berketerampilan yang ingin dilahirkan ialah yang berilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan sememangnya kunci bagi kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi. Dalam situasi perkembangan dunia hari dimana perkembangan teknologi adalah begitu pesat, ilmu pengetahuan sememangnya amat mudah didapati. Hasrat melahirkan individu yang berpengetahuan harus disertai dengan mempunyai kemahiran apabila mempraktikkan ilmu pengetahuan tersebut. 

Selain itu, mereka juga harus memiliki kelayakan yang wajar bagi menjalankan sesuatu tugas. Mempunyai kelayakan membolehkan individu mempunyai keyakinan bagi menjalankan sesuatu tugas. Apabila mahir serta berkelayakan, maka individu mampu melaksanakan tugas dengan cekap, tangkas dan sempurna. Dengan ini juga individu tersebut mampu memberi dan menyampaikan ilmu yang dimiliki kepada orang lain yang memerlukan.
Dalam pendidikan, kompenan-kompenan yang harus di ambil kira ialah penampilan secara fizikal dimana seseorang pelajar harus memainkan peranan dalam penampilan mereka. Sebagai contoh, pakaian pelajar perlu kemas dan mengikut kod etika pakaian serta harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Seterusnya, ketrampilan juga melihat elemen bagaimana pandangan seseorang terhadap diri sendiri dan juga orang lain. Ia berkaitan dengan aspek positif atau negatif pemikiran seseorang itu terhadap diri mereka dan orang lain. Akhirnya ia memberi penekanan yang tinggi terhadap perasaan harga diri dan keyakinan diri.

i) Rakyat Malaysia Yang Berakhlak Mulia

Sehubungan dengan itu, matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga ingin melahirkan masyarakat Malaysia yang berakhlak mulia. Masyarakat berakhlak mulia di sini bermaksud masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti bersopan santun, berbudi bahasa, jujur, amanah, berintergriti dan sebagainya. Unsur ini merupakan perkara utama yang dituntut agar rakyat Malaysia mampu untuk berfikir, bertindak dan menilai mana satu yang baik dan mana satu yangg buruk. Kebolehan berfikir jauh dalam menimbang kesan dan akibat sesuatu perkara dan yakin dalam perkara murni yang dilakukan merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam rakyat Malaysia yang berakhlak mulia. Kesemua nilai-nilai murni ini sangat penting dan perlu diterapkan kepada rakyat Malaysia sejak dari peringkat sekolah lagi supaya ia sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia.

j) Rakyat Malaysia Yang Bertanggungjawab

Selain daripada itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menitikberatkan unsur dan nilai kebertanggungjawaban di dalam diri setiap rakyat Malaysia. Bertanggungjawab yang dimaksudkan disini bukanlah bererti bertanggungjawab ke atas tugasan pekerjaan sahaja malahan ianya meliputi pelbagai aspek tanggungjawab seperti tanggungjawab terhadap agama dan keluarga, tanggungjawab terhadap perlembagaan undang-undang, tanggungjawab terhadap keamanan sejagat dan sebagainya. Oleh sebab itu, nilai ini telah dipupuk dan disemai kepada rakyat Malaysia sejak berada di bangku sekolah lagi. Dengan mengetahui tugas dan tanggungjawab ini diharapkan agar rakyat Malaysia mampu untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara yang berwibawa, disegani dan dihormati disamping memelihara perpaduan kaum untuk menjamin keamanan negara diteruskan. 

k) Rakyat Malaysia Yang Berkeupayaan Mencapai Kesejahteraan Diri

Seterusnya hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu dan berkeupayaan untuk menikmati kesejahteraan diri. Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri di sini bermaksud seseorang individu yang berupaya menangani apa-apa sahaja masalah di dalam hidupnya sebagai contoh. Mereka juga mampu untuk berfikir secara waras apabila menghadapi sebarang situasi seperti menilai kesan dan akibat baik dan buruk sesuatu pertimbangan. Di samping itu juga, keseimbangan mencapai kesejahteraan hidup ini juga meliputi keupayaan seseorang individu untuk mempunyai tubuh badan sihat dan mempunyai kemahiran dalam menjalin perhubungan yang baik dengan orang lain. 

l) Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.

Unsur yang terakhir yang diterapkan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu rakyat Malaysia yang dapat memberikan banyak sumbangan kepada masyarakat, agama, dan negara. Dengan wujudnya rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan kepada negara, ia sebenarnya telah membantu proses pembangunan negara ke arah sebuah negara maju. Bukan itu sahaja, harapan untuk melihat ramai rakyat Malaysia berjaya di dalam memberikan sumbangan terutama sekali sumbangan kepada keluarga akan menambahkan lagi keharmonian dan kemakmuran di dalam sesebuah keluarga bahkan juga kepada masyarakat. Tuntasnya disini adalah untuk melahirkan masyarakat yang berguna kepada keluarga, agama dan bangsa. 

Kesimpulannya, bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis, pencapaian dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani perlulah dititikberatkan dahulu kerana elemen-elemen inilah yang menjadi pemangkin sebenar dalam pembangunan modal insan selaras kehendak negara kita bagi mencapai Wawasan 2020.

TOKOH TERDAHULU


Syeikh Izzuddin Al-Qassam: Murabbi Sufi Agung Yang Syahid

Nama beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam.
Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jibillah, Syria. 
Keluarganya amat berpegang kuat dengan ajaran Islam. 
Bapanya seorang guru Al-Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafaz Al-Quran.
Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun sekitar tahun 1906. Sewaktu menuntut beliau sempat belajar daripada tokoh terkenal, Syeikh Muhammad Abduh r.anhu dan bersahabat dengan Syeikh Muhammad Rashid Redho. 

Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih melakukan usaha dakwah. Seorang imam, guru dan juga syeikh bagi Tariqat As-Syazuliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria.

Ketika Perancis menjajah negara Syria, beliau juga turut ikut serta dalam memerangi penjajah. 
Antara usahanya ialah dengan menjual rumahnya lalu membeli 34 pucuk senjata sebagai persediaan bagi menentang penjajah. 
Namun, perjuangan suci Syeikh Izzuddin dikhianati oleh revolusi pimpinan Ibrahim Hanano yang menyerahkan Syria kepada penjajah dan menangkap para pejuang.
Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920. Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya.
Beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin.

Jasa Syeikh Izzuddin Al-Qassam sentiasa dikenang oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin. 
Nama beliau diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta pada senjata dan bendera mereka. 

RUMUSAN

Kesimpulannya, guru merupakan insan terpenting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru. Hal ini demikian kerana guru berperanan sebagai seorang pendidik, pembimbing, jurulatih, kaunselor, penasihat dan role model kepada murid-murid dan masyarakat. Oleh yang demikian, guru perlu mempunyai kemahiran profesional seperti kemahiran belajar, berfikir, merancang, menyediakan bahan pengajaran pembelajaran, mengajar, mengurus, menilai, berkomunikasi, menangani masalah dan berusaha ke arah perkembangan kendiri. Hal ini supaya mereka dapat mendidik dan melahirkan anak bangsa yang berkualiti, berpengetahuan, bersahsiah dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Oleh itu, dalam menuju pendidikan bertaraf dunia, guru adalah agen terpenting dalam merealisasikan pendidikan anak bangsa Malaysia dalam mengharung cabaran di tahap yang lebih tinggi. 

Pengisian guru yang berkualiti seperti yang di bentangkan iaitu guru perlulah bertindak sebagai penyebar ilmu, pengamal budaya ilmu, guru sebagai role-model, mengamalkan pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan, dan mengamalkan kemahiran profesional mampu meyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. 

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Mohamad bin Muda, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya, para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21.